Saturday, August 7, 2010

Madrasah Ramadhan ( I )

MEMBENTUK DIRI YANG DIBERKATI ALLAH

Allahumma balighna Ramadhan… Selamat Ramadhan al-Mubarak!

Kedatangan Ramadhan sangat dinanti-nantikan oleh semua warga New Zealand! Ye tak? Pasti semua berazaam untuk melakukan sebanyak mungkin kebajikan dalam bulan yang dipenuhi dengan keberkatan ini.Mukmin muttaqin akan berusaha untuk mencapai matlamat yang dijanjikan Allah dalam bulan ini.Huuu..macam sempat ke siap sedia ni?

Madrasah Ramadhan yang datang hanya setahun sekali, merupakan satu tempoh yang amat singkat! Bilangan harinya adalah sama dengan bilangan hari bulan-bulan yang lain. Bulan ini amat berbeza dengan bulan-bulan lain apatah lagi ianya merupakan satu-satunya bulan yang disebut dalam al-Quran tidak yang lainnya. Pada masa yang sama, kedatangan bulan yang diwarnai dengan peristiwa-peristiwa bersejarah kepada umat Islam ini, amat dinantikan agar ianya dapat mengembalikan semula “zikrayat” (kenangan) kehebatan dan kemenangan umat Islam.Justeru, umat Islam perlu merancang dan melaksanakan segala perancangan dengan teliti dengan mengkaji kehebatan umat Islam pada masa lalu.

KEISTIMEWAAN RAMADHAN

Sesungguhnya bulan Ramadhan mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang banyak dan tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Keistimewaan ini adalah dari sudut pelaksanaan ibadah dan kelebihan menghidupkannya. Di antara keistimewaan bulan ini ialah:

a. Keistimewaan ibadah puasa.

Ibadah puasa berfungsi untuk menyemai dan menyuburkan ketakwaan dan sifat kehambaan kepada Allah SWT. Puasa juga merupakan ibadat yang difardhukan kepada umat yang terdahulu dan termasuklan umat Nabi Muhammad SAW. Ketaatan untuk melaksanakannya merupakan “ta’abbud” kepada Allah dan jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan penghayatan yang baik, maka kesan yang terhasil amat hebat iaitu lahirnya individu-individu muslim yang mempunyai jati diri yang kental.

b. Kelebihan dan keistimewaan Lailatul Qadar.

Rebutlah peluang untuk mendapatkan malam yang lebih baik dari 1000 bulan atau 83 tahun ini. Malam yang hanya berlaku setahun sekali ini adalah dipenuhi dengan keistimewaan kerana Allah SWT menganugerahkan keberkatan, kemuliaan, kerahmatan dan kesejahteraan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang berusaha mendapatkannya dengan amal ibadat seperti solat, membaca al-Quran, iktikaf dan zikir kepadaNya. Prof Dr Hamka mengungkapkan dalam Tafsir al-Azhar; Lailatul Qadar bererti malam kemuliaan yang tinggi dari Allah kepada Nabi Muhammad SAW kerana itulah permulaan Malaikat Jibril as menyampaikan wahyu kepadanya.

c. Khabar gembira daripada Rasulullah SAW.

Kedatangan bulan Ramadhan telah dinyatakan sebagai khabar gembira daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagaimana hadis baginda:

“ Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan di mana telah diwajibkan kepada kamu berpuasa. Di bulan inilah pinu langit dibuka seluas-luasnya, ditutup rapat pintu neraka, diikat pula pergerakan syaitan, di bulan iniah juga terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Jadi sesiapa yang terlepas akan keberkatan dan kebaikan malam tersebut maka dia adalah orang yang rugi dan terlepas dari segala kebaikan malam itu”

d. Keampunan daripada Allah SWT.

Kedatangan Ramadhan merupakan penghapus dosa yang dilakukan oleh manusia jika bulan tersebut dipenuhi dengan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Malah kedatangannya pada tahun ini akan menghapuskan dosa yang lalu selama seorang hamba tidak melakukan dosa-dosa besar. Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:

“ Solat lima waktu, satu Jumaat ke Jumaat yang akan datang, dari satu Ramadhan ke Ramadhan yang akan datang adalah penghapus dosa bagi seorang muslim selama mana dia menjauhi perbuatan dosa besar”

e. Pintu syurga ar-Rayyan dibuka dan dikhaskan kepada orang yang berpuasa.

Pintu syurga yang bernama ar-Rayyan disediakan khas bagi orang yang berpuasa, akan berhias dan mengindahkan suasana di syurga bila menjelang kedatangan Ramadhan. Rasulullah SAW ada bersabda:

“ Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu yang disebur ar-Rayyan, dipanggil dan diseru pada hari kiamat nanti; manakah dia orang-orang yang berpuasa? Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk ke dalamnya, maka pintu itu pun di tutup”

Mungkin ini sesuai untuk persiapan kita...(klik tuk besarkan)

Jumpa lagi... InsyaAllah!!

0 comments:

~SelamatDatang~

 

..Hati ke Hati.. Design by © 2010