RAMADHAN DAN TARBIYYAH (PENDIDIKAN)
Puasa di bulan Ramadhan amat berkait rapat dengan proses tarbiyyah jiwa mukmin. Melalui puasa yang dilalui, pelbagai perasaan yang berkaitan dengan iman seseorang individu akan dapat dirasai. Banyak sekali hadis-hadis Rasulullah SAW yang mengaitkan puasa dengan tarbiyyah apatah lagi dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Sabda Rasulullah SAW:
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال قال رسول الله صلى الله عليه ةسلم: "الصيم جنة ( أي وقاية من الأخلاق الردية)، فإذا كان يوم صوم أحدكم فلا يرفث ولا يصخب، فإن شاتمة أحد أو قاتله فليقل إني صائم، إني صائم"
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah saw bersabda: Puasa adalah perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk). Apabila seseorang itu berpuasa, maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata yang tidak elok (mencarut) atau kesat. Jika ada orang memakinya atau mahu membunuhnya, maka katakanlah kepadanya:Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa”
Proses tarbiyyah jiwa mukmin perlu berterusan dan di antara saat atau tempoh yang paling baik untuk mentarbiyyah jiwa adalah dalam bulan Ramadhan. Jiwa yang bersih melahirkan akhlak terpuji sebaliknya jiwa yang dikotori dengan dosa akan melahirkan akhlak yang keji.
Selain proses mentarbiyyah jiwa untuk menjadi individu muslim yang sejati dan sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah swt, Ramadhan juga merupakan masa yang sangat sesuai untuk mentarbiyyah sesama insan agar sentiasa bermuraqabah (mendekatkan) diri dengan Allah swt. Justeru itu, jangan lepaskan peluang masa keemasan ini!
BAGAIMANA?
1. Berpuasa.
Berpuasa di bulan Ramadhan adalah di antara amal ibadat yang paling utama untuk dilaksanakan. Puasa merupakan perisai (memelihara daripada akhlak yang buruk) kepada orang-orang mukmin. Berpuasa akan membantu orang-orang mukmin mengelakkan diri mereka daripada terjerumus melakukan akhlak yang buruk seperti mencarut dan memaki hamun atau berkata dengan perkataan yang kesat kepada orang lain. Sifat dan perasaan mahmudah akan mudah menjelma dan sebati kepada mereka yang berpuasa kerana puasa sebenarnya menyuburkan rasa ketakwaan dan kepatuhan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183:
“ Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulul daripada kamu, supaya kamu bertakwa”
Selain daripada mendekatkan diri kepada Allah SWT, puasa juga sebenarnya sangat berperanan dalam meningkatkan kesihatan individu. Seorang doktor bernama Mc Phodoun yang mengkaji dan meneliti pengaruh puasa terhadap tubuh manusia ada menyatakan:
“ Setiap manusia memerlukan puasa, sekalipun dalam keadaan sakit, kerana racun makanan dan ubat-ubatan jika sudah terhimpun pada diri manusia akan menyebabkan diri seperti terasa berat dan kurang berghairah”
2. Solat Tarawih/Witir.
Keistimewaan Ramadhan adalah adanya solat terawih yang tidak ada di bulan-bulan lain. Hukum sunat muakkad sepatutnya digunakan sebaik yang mungkin untuk umat Islam mengaut sebanyak mana yang mungkin pahala daripada melaksanakan solat tarawih ini. Baginda Rasulullah SAW mengerjakan secara berjemaah di masjid bersama dengan para sahabat selama beberapa malam. Pada masa yang sama ada ketikanya Rasulullah SAW melaksanakannya di rumah baginda. Solat tarawih adalah satu fenomena hebat yang dikagumi oleh orang bukan Islam yang hanya berlaku di bulan Ramadhan. Laksanakanlah di masjid secara berjemaah dan ajaklah anak dan isteri untuk bersama-sama melaksanakannya. Walaubagaimanapun solat tarawih boleh dilaksanakan di rumah bersama dengan isteri dan anak-anak, bersama sahabat handai mahupun jiran. Apa yang penting proses tarbiah melalui solat tarawih ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan umat Islam.
3. Membaca Al-Quran.
Al-Quran yang diturunkan permulaannya oleh Allah SWT pada 17 Ramadhan kepada Nabi Muhammad SAW merupakan mukjizat yang terbesar dan menjadi petunjuk kepada umatnya. Tiada siapa yang mempertikaikan kalamullah ini dan ianya sentiasa menjadi rujukan kepada setiap permasalahan yang berlaku kepada manusia. Justeru itu, membaca dan menghayati al-Quran serta mentadabburkan isi kandungannya merupakan satu tuntutan yang perlu dilaksanakan.
Ramadhan adalah saat yang amat baik untuk membaca al-Quran bersama-sama ahli keluarga selain membaca secara bersendirian. Peruntukan masa untuk membaca bersama keluarga; isteri dan anak, mengikut masa yang bersesuaian dengan kehidupan kita yang sentiasa sibuk dengan. pekerjaan harian ini. Saat bersama keluarga walaupun dalam jangkasa masa yang terhad hendaklah digunakan sebaik yang mungkin untuk bersama-sama membaca al-Quran. Di antara cadangan waktu yang sesuai membaca al-Quran bersama keluarga dalam bulan Ramadhan ini ialah:
a. Selepas Solat Subuh. Bagi kita yg sibuk dengan urusan belajar di uni, selepas sahur hendaklah bersiap untuk solat subuh dengan pakaian untuk ke uni dan selepas itu peruntukan masa dengan membaca 5-10 ayat al-Quran. Jika sekiranya kesemua ahli rumah tidak boleh membaca al-Quran, kita sendiri hendaklah menunjukkan teladan dengan membacanya.
b. Selepas Solat Tarawih. Selain selepas solat subuh, selepas solat tarawih juga adalah alternatif yang paling sesuai. Peruntukan masa untuk duduk berkumpul sebelum masuk tidur dengan membaca al-Quran.
c. Bila-bila Masa. Jadikanlah membaca al-Quran bersama housemates dengan masa mengikut kesesuaian! Yang penting, laksanakanlah supaya bulan yang penuh kerahmatan ini tidak berlalu begitu sahaja.
Kita harus membentuk diri dengan al-Quran dan tetapkanlah supaya al-Quran sebanyak 30 juzuk dapat dikhatamkan dalam masa sebulan ini. Ingatkan ahli keluarga dengan hadis Rasulullah saw:
عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "من قرأ القرأن فاستظهره فأحل حلاله وحرم حرامه، أدخله الله به الجنة وشفعه في عشرة من أهل بيته، كلهم قد وجبت له النار"
Daripada Ali bin Abi Talib ra berkata: Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang membaca al-Quran lalu dizahirkan (dalam kehidupannya), menghalalkan apa yang dihalalkan oleh al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh al-Quran, maka Allah akan memasukkanya ke dalam syurga dan dia dapat memberikan syafaat kepada sepuluh orang daripada ahli keluarganya yang sepatutnya dimasukkan ke dalam api neraka”.
Wah... hebatnya! Selain daripada bertadarus, jangan lupa diri sendiri. Kesibukan masa bukanlah alasan untuk membiarkan seharian di bulan Ramadhan berlalu begitu sahaja tanpa dipenuhi dengan membaca al-Quran. Jika terlalu sibuk di uni, masa yang amat sesuai untuk membaca al-Quran adalah sewaktu rehat antara kelas atau lab. Selain itu, masa-masa yang ada gunakanlah dengan membuka dan membaca al-Quran serta mentadabburkannya.
0 comments:
Post a Comment