Tempoh hari kita bercerita tentang puasa, solat terawih dan sunat dan membaca quran. Emm... itu sahaja ibadat? Tidak... bahkan apa sahaja adalah ibadah jika diniatkan kepada Dia. Seterusnya, kita boleh baiki akhlaq...
Menghayati Akhlak Ramadhan
Ramadhan membawa seribu rahmat kepada mukmin yang menghayatinya. Ramadhan mendidik mukmin agar sentiasa mengingati saudaranya lain yang amat memerlukan bantuan dan pertolongan. Terapkan dalam jiwa ahli keluarga secara langsung mahupun secara tidak langsung mengenai kepentingan menghayati Ramadhan dengan akhlak-akhlak yang terpuji. Masa sedang berehat dengan keluarga, sedang berjalan ke masjid atau surau, sedang menerima tetamu, sedang menjadi tetamu, apabila waktu berbuka, apabila berada dalam kereta, sedang berjalan, apabila berada dalam masjid, apabila bersama dengan orang ramai dan masa-masa yang lain; semuanya itu adalah tips-tips masa yang boleh diterapkan kepada anak-anak kita tentang penghayatan akhlak Ramadhan. Di antara akhlak Ramadhan yang perlu dihayati ialah:
a. Belas Kasihan. Wujudkan dalam diri kita sifat belas kasihan kepada saudara kita di merata dunia yang sedang mengalami penderitaan dan penindasan. Kesatuan perasaan perlu diwujudkan dalam diri kita dengan nasib yang dialami oleh saudara seakidah dengan diri kita. Saudara seakidah kita di Afghanistan, Palestin, Kasymir dan di tempat lain lagi amat memerlukan sumbangan dan bantuan kita semua. Perasaan ini boleh diwujudkan dengan menghulurkan sumbangan kepada mereka. Peruntukkan wang perbelanjaan harian, wujudkan tabung khas di rumah dan didiklah diri dengan memberikan sumbangan kepada yang memerlukan kerana hadis Rasulullah saw ada menyatakan:
من لم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم
Maksudnya: “Barang siapa yang tidak mengambil berat perihal orang Islam, dia bukanlah dari kalangan mereka”
Selain sifat belas kasihan kepada manusia, menyemai sifat belas kasihan kepada haiwan juga perlu dilaksanakan. Cerita bagaimana seorang lelaki yang diampunkan dosanya oleh Allah SWT kerana memberikan air minuman kepada seekor anjing yang sedang kehausan perlu diberikan agar anak-anak mengerti dan memahami betapa pentingnya sifat belas kasihan.
b. Memelihara Silaturrahim. Tautkan hati ibu bapa, adik beradik, sahabat handai, saudara mara, rakan sepejabat, dan jiran dengan ikatan silaturrahim kerana rahmat akan diturunkan kepada mereka yang memeliharanya. Ziarahi mereka dan jika ada kesempatan ajaklah mereka untuk berbuka puasa di rumah kita. Ketibaan Ramadhan juga hendaklah didahului dengan ucapan tahniah dengan kedatangannya dan lakukanlah kepada keluarga kita, adik beradik, sahabat handai, jiran dan kepada mereka yang mengenali diri kita. Ucapkanlah tahniah sempena kedatangan Ramadhan dengan ucapan melalui telefon dan SMS serta nasihatkanlah untuk mempertingkatkan amalan sempena kedatangan Ramadhan al-Mubarak ini. Kepentingan memelihara ikatan silaturrahim ini ada disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW:
"من سره أن يمد له في عمره ويزاد له في رزقه فليبر والديه وليصل رحمه"
Maksudnya: “ Barangsiapa yang suka untuk dipanjangkan usianya dan dimurahkan rezekinya, maka berbuat baiklah kepada kedua ibu bapanya dan peliharalah ikatan silaturrahimnya”
c. Infaq. Sifat bakhil dan kedekut amat dilarang dalam Islam dan apabila diamalkan ianya menjadi punca kemurkaan Allah SWT. Infaqkanlah harta yang kita miliki kerana ia merupakan bisnes atau perniagaan yang amat menguntungkan. Ubat kepada penyakit bakhil atau kedekut ini ialah yang berlawanan dengannya iaitu dengan cara menginfakkan harta yang kita miliki. Realitinya, kita membelanjakan wang setiap hari bagi perbelanjaan diri sebelum kedatangan Ramadhan dan apa salahnya untuk kita belanjakan wang tersebut dengan menginfakkannya kepada orang lain yang lebih memerlukan. Pahala yang diberikan oleh Allah SWT kepada yang menginfakkan hartanya amatlah besar sekali apatah lagi jika sekiranya dilaksanakan dalam bulan Ramadhan. Rasulullah SAW bersabda:
“ Sesungguhnya, sedekah (pemberian seorang muslim memanjangkan umurnya, menghindarkannya dari mati yang tidak baik; ia dihindarkan Allah dari kesombongan dan keangkuhan” (Riwayat at-Tabrani)
d. Pemaaf. Sifat pemaaf adalah satu tuntutan untuk dilaksanakan dan banyak kebaikannya apabila dilaksanakan. Gembirakan orang lain dengan memberikan kemaafan kepada mereka. Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:
عن على رضي الله عنه قال: "إن من موجبات المغفرة إدخالك السرور على أخيك المسلم"
Maksudnya: “ Daripada Ali ra katanya: Sesungguhnya antara perkara yang boleh mengampunkan dosa-dosa ialah memberi kegembiraan kepada saudara seIslam kamu”
Sifat ini akan mudah diperolehi apabila berada di Madrasah Ramadhan kerana umat Islam saling memahami di atas kepayahan yang dialami kerana berpuasa. Tanamkan dalam jiwa kebaikan memaafkan orang lain dan ganjaran yang akan diberikan. Mulakannya dengan diri kita. Tautkan hati sahabat handai yang bergaduh dengan sifat pemaaf apabila salah seorang melakukan kesalahan dan jangan biarkan sesuatu pertengkaran berlarutan sehingga membawa kepada kekerasan hati. Hati yang keras menyebabkan seorang muslim payah untuk menerima hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT.
e. Qanaah. Nafsu yang menggelojak untuk memenuhi kehendak kehidupan duniawi berkurangan jika sekiranya seorang muslim berpuasa dengan penuh keinsafan di bulan yang mulia ini. Di sinilah peranan madrasah ini untuk mendidik jiwa muslim menjadi qanaah (berpada) dengan apa yang dimilikinya dengan tidak memburu kehidupan duniawi yang tidak akan kenal rasa puas bagi mereka yang memburunya. Apatah lagi pemburuan kehidupan duniawi ini adalah satu bentuk yang haram! Biarlah kehidupan duniawi yang membelit kehidupan manusia ini dapat diatasi dengan sifat qanaah dan qanaah ini akan diperolehi dengan lebih mudah melalui ibadat puasa. Tanpa qanaah seorang muslim akan sentiasa mencari dan memburu habuan dunia yang bersifat sementara ini sehingga menyebabkan dirinya terjerumus ke dalam lembah kehinaan sedangkan dunia merupakan jambatan mencapai kejayaaa di akhirat nanti.
f. Berkata Yang Berfaedah. Ramai yang tidak menyedari bahawa dosa yang mengelilinginya adalah disebabkan lidah-lidahnya tidak dipelihara dengan baik. Mengumpat dan mengadu domba merupakan di antara akhlak mazmumah yang boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke lembah kehinaan. Elakkan diri daripada menjadi golongan yang memakan daging saudara mereka sendiri dan jangan memandang ringan dengan perkataan yang dikeluarkan dari mulut walaupun atas dasar gurauan atau menyampaikan perkhabaran. Kemungkinan dengan hanya satu perkataan kita telah ditentukan kedudukan di akhirat nanti sama ada memperoleh kebahagian atau sebaliknya. Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:
"إن الرجل ليتكلم بالكلمة من رضوان الله تعالى ما كان يظن أن تبلغ ما بلغت بكتب الله بها رضوانه إلى يوم يلقاه،
وإن الرجل ليتكلم بالكلمة من سخط الله تعالى ما كان يظن أن تبلغ ما بلغت يكتب الله بها سخطه إلى يوم يلقاه"
Maksudnya: “Seseorang lelaki bertutur dengan satu perkataan yang mendatangkan keredhaan Allah dia sedikitpun tidak menyangka akan beroleh ganjaran seperti itu; di mana Allah telah mencatat ganjaran pahala (berupa keredhaan) untuknya sehinggalah ke hari kiamat. Seseorng lelaki bertutur dengan satu perkataan yang mendatangkan kemurkaan Allah dia sedikitpun tidak menyangka akan beroleh balasan seperti itu; di mana Allah telah mencatat balasan (berupa kemurkaan) untuknya sehinggalah hari kiamat”
Qiamullail.
Qiamullail atau menghidupkan malam dengan amal ibadat kepada Allah merupakan satu amal ibadat yang amat dituntut untuk dilaksanakan. Memperbanyakkan al-Quran, solat tahajjud, zikir dan amalan-amalan yang lain merupakan pengisian yang perlu dilaksanakan bagi memastikan malam-malam yang berlalu dipenuhi dengan pengabdian kepada Allah SWT. Keampunan dari Allah hendaklah dipohon apatah lagi di saat-saat yang penuh dengan keberkatan ini. Firman Allah SWT:
و سارعوا إلى مغفرة من ربكم
Maksudnya: “ Bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu…”
Apabila tibanya Ramadhan, waktu sebelum bersahur adalah paling sesuai untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT walaupun hanya sekadar solat dua rakaat. Pada masa inilah, waktu yang sesuai untuk kita memohon keampunan kepadaNya sebagaimana firman Allah,
وبالأسحارهم يستغفرون
Maksudnya: “Dan pada waktu sahur mereka memohon keampunan”
Memohon keampunan dengan penuh jiwa dan raga dengan melakukan taubat kepadaNya merupakan suatu kemestian bagi seorang hamba. Taubat adalah kembali kepada ketaatan setelah melakukan maksiat dan ianya mempunyai beberapa syarat iaitu:
a. Meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat.
b. Menyesali di atas perlakuan maksiat yang telah dilakukan.
c. Berazam untuk tidak mengulanginya.
d. Mengembalikan semula hak yang berkaitan dengan orang lain.
Kejutkan teman serumah untuk bersama menghidupkan malam dengan penuh ketakwaan kepada Allah SWT. Jika kita yang terbangun terlebih dahulu, jangan biarkan rteman-teman terus terlena dengan mimpinya yang indah. Jika rakan yang terbangun dahulu, ingatkanlah rakan supaya mengajak kita bersama-sama bangun menghidupkan malam yang penuh keberkatan disepanjang bulan ini. Alangkah indahnya jika suasana seperti dihidupkan dan dijadikan sebagai amalan harian yang bukan sahaja hanya berlaku di bulan Ramadhan sahaja. Sikap meremehkan dan tidak mengambil berat dengan membiarkan malam berlalu tanpa dipenuhi dengan apa-apa pengisian adalah merupakan satu kerugian yang perlu dielakkan. Perbanyakkanlah qiam dan doa terutamanya di sepuluh terakhir Ramadhan untuk mendapatkan gandaan pahala di sisi Allah SWT.
Iktikaf.
Iktikaf amat dituntut untuk dilaksanakan terutamanya di sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Iktikaf bermaksud duduk di dalam masjid sebagai ibadat yang disunatkan dengan niat iktikaf. Firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 125:
Maksudnya:"Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan yang sujud".
Rasulullah SAW amat menitik beratkan amalan i’tikaf ini terutamanya di sepuluh terakhir bulan Ramadhan. Hadis Rasulullah SAW ada menyatakan:
كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله
Maksudnya: “Dari Ibnu Umar ra berkata: Rasulullah SAW biasa beri’tikaf pada sepuluh terakhir hari-hari bulan Ramadhan sehinggalah wafat”
Hukum beriktikaf adalah sunat dan ianya menjadi wajib jika sekiranya seseorang mukmin bernazar untuk melakukan iktikaf. Rasulullah SAW akan beriktikaf di sepuluh terakhir Ramadhan dan amalan ini di sambung oleh para isterinya selepas kewafatan baginda. Apakah matlamat iktikaf? Islam amat menitik beratkan kebersihan hati kerana hati merupakan agen perubahan kepada jasad manusia. Melalui iktikaf yang disertai dengan amalan-amalan mentaqarrubkan (mendekatkan) diri kepada Allah SWT seperti berzikir dan membaca al-Quran serta meninggalkan kesibukan dunia, maka hubungan seorang hamba dengan Allah SWT amat dekat sekali dan sudah tentunya akan menimbulkan keinsafan dalam jiwa seorang hamba. Niatlah dengan penuh keikhlasan untuk beriktikaf di dalam masjid, membaca al-Quran, memperbanyakkan zikir, tafakur,berdoa, bertasbih, bertahmid dan bertakbir agar amalan iktikaf diterima dan seterusnya dapat mendidik jiwa mendekatkan diri kepada Allah. Elakkan dan hindarkan diri daripada segala perbuatan yang sia-sia dan menjejaskan pahala iktikaf.
Dalam suasana masyarakat di Malaysia yang disibukkan dengan menyambut Aidil Fitri di hari-hari terakhir Ramadhan, maka beruntunglah jika sekiranya kita mengambil kesempatan tersebut dengan melakukan iktikaf. Ini adalah sunnah Rasulullah SAW!
Peristiwa Bersejarah.
Berceritalah tentang peristiwa yang berlaku kepada umat Islam di bulan Ramadhan. Kehebatan dan kemenangan umat Islam perlu disebarkan dan diceritakan agar semua orang tahu. Malah, berceritalah apakah kekuatan dan strategi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan umat Islam sehingga kecemerlangan diraih oleh umat Islam pada masa yang lalu. Banyak peristiwa besar yang berlaku di bulan Ramadhan antaranya ialah peperangan Badar al-Kubra pada tahun 2 hijrah, pembukaan Kota Mekah pada tahun 8 hijrah dan juga peperangan Ain Jalut yang diketuai oleh Sultan Qutuz.
Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun 2 hijrah menjadi satu iktibar kepada seluruh manusia tentang kekuasaan Allah SWT yang mengatasi segala-galanya. Walaupun dengan kekuatan 313 tentera Islam dan mempunyai kelengkapan peperangan yang amat dhaif jika dibandingkan dengan kekuatan tentera musyrik seramai 1000 orang dan kelengkapan persenjataan yang hebat, akhirnya tentera Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW berjaya mengalahkan musuh. Kehebatan ini perlu diperincikan dan diceritakan supaya anak-anak mengetahuinya dengan lebih lanjut kerana semuanya itu berlaku di bulan Ramadhan. Ketakwaan yang ditunjukkan, ikhtiar yang dilaksanakan dan tawakkal yang tinggi merupaka ramuan yang cukup untuk membuahkan kemenangan. Kaitkan dengan apa yang berlaku disekitar kehidupan yang melanda umat Islam. Kenapakah kehinaan menimpa, kenapakah penindasan berleluasa dan kenapakan kezaliman bermaharajalela. Ini semuanya mendorong anak-anak untuk sentiasa sedar dengan apa yang berlaku dan seterusnya dapat menghindarkan dirinya daripada terus terpedaya dan terpesona dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.
Bulan Ramadhan kedatangannya amat ditunggu-tunggu dan pemergiannya akan ditangisi. Ditunggu oleh mukmin yang ingin mengejar segala ganjaran dan keistimewaannya dan ditangisi kerana takut tidak dapat menempuhinya pada tahun akan datang. Ramadhan dipermulaannya adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan dipenghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka merupakan kurniaan Allah SWT kepada hambaNya untuk direbut. Ramadhan juga sebenarnya masa yang amat sesuai untuk mendidik jiwa seorang hamba dan seterusnya melahirkan sifat ketakwaan yang tinggi sehingga memperolehi syurga yang amat dirindui. Rebutlah peluang keemasan ini.
Berdebar- debar... adakah esok masih ada untukku?
0 comments:
Post a Comment